“Abang Khairul sekarang dah ada rambut baru, makin hensem, makin sombong pulak”. Tasha mengadu kepada Haziq.
“Tak puas hati betul”. Ah. Ini yang buat hati saya cair.
Kedua-duanya sepupu saya. Beza umur kami lebih 10 tahun, namun inilah kawan-kawan yang saya cari bila pulang ke Negeri Sembilan. Dengan mereka sahajalah saya boleh mengarut boleh merepek. Terutamanya dengan Tasha. Cerdik dan banyak bicara.
Bagaimana dengan sepupu yang lainnya, yang dewasa itu semua? Entah. Tak tahu nak cakap apa selain daripada “Belajar di mana” atau “Kerja di mana”. Kemudian (pura-pura) terkejut bila dapat tahu yang masing-masing duduk di KL, bolehlah singgah bila ada masa. Jadi kami bertukar nombor telefon, dan setahun berlalu tanpa sesiapa menghubungi sesiapa. Bila jumpa lagi berulanglah perbualan yang sama. Bosan.
Sudah maklumlah yang balik kampung itu bosan. Lebih bosan daripada makan tengah hari bersama rakan sekerja atau perhimpunan semula rakan sekolah lama. Kerana apa sahaja persamaan yang ada di kampung selain daripada pertalian saudara?
Kami lebih rapat sewaktu kecil dahulu. Bermain dan keluar beraya bersama-sama. Tidur sebelah-menyebelah. Mandi pun pernah sekali. Entah di mana sewaktu masing-masing membesar, hubungan itu semakin renggang.
Kadang-kadang saya ada mencuba. Cuba wujudkan perbualan, atau melawak sahaja. Tapi kalau dah saya seorang sahaja yang mencuba, lebih baiklah saya sambung mengarut dan merepek, bersama Haziq dan Tasha.